FELDA Bukit Tembaga merupakan tanah rancangan di bawah pentadbiran Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Di bawah pentadbiran FELDA, segala-gala yang berkaitan pekerjaan di ladang dan kehidupan peneroka mendapat perhatian pihak pengurusan FELDA. Untuk menjalinkan hubungan yang lebih berkesan dengan masyarakat setempat, FELDA Bukit Tembaga ditadbir oleh Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Rancangan (JKKR). Peneroka tanah rancangan akan menyalurkan masalah yang mereka hadapi kepada organisasi tersebut yang kemudiannya memanjangkan kepada pihak pengurusan FELDA.

 

Bukit Tembaga berasal dari sebuah gua atau lubang yang tanahnya bewarna merah seperti tembaga yang terletak berhampiran Bukit Putih, Bukit Lengoh dan Bukit Petai.

Pada 30 Oktober 1955, kawasan Bukit Tembaga mulai diterokai dengan kehadiran 467 orang kesemuanya. Akhirnya selepas beberapa hari, peneroka kawasan itu tinggal 200 sahaja termasuk lapan orang perempuan. Mereka berasal dari Kuala Kedah, Pantai Johor, Anak Bukit, Jitra dan Alor Merah.